Search This Blog

Loading...

Thursday, 8 September 2011

PERMASALAHAN YANG DIHADAPI OLEH GURU BAGI MEREALISASIKAN PENGAJARAN & PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU MELALUI TMK DAN CARA-CARA MENGATASINYA


PENGENALAN


Penggunaan teknologi maklumat dalam kehidupan pada masa kini telah menjadi suatu yang penting dan sangat memerlukan. Teknologi maklumat juga dapat membantu manusia memudahkan melakukan sesuatu perkara. Penggunaan teknologi pada abad ke 21 ini dapat dilihat semakin melaus sama ada dalam bidang perniagaan, pembangunan malah kini yang menjadi tumpuan adalah penggunaan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan. Kerajaan kini memandang serius berkenaan pengintegrasian teknologi maklumat dalam pendidikan melalui matapelajaran yang diajar. Dengan penggunaan teknologi maklumat secara menyeluruh mampu meningkatkan tahap kemahiran pelajar-pelajar untuk mendapat maklumat dengan berkesan. Hjetland (1995) menyatakan bahawa “Technology can make our lives easier. Everyday tasks are simplified”. Beliau juga menyatakan bagaimana teknologi dapat mempermudahkan tugas serta meningkatkan prestasi guru seperti penggunaan teknologi untuk kerja-kerja pengurusan dan kerja-kerja pengajaran pembelajaran.

Setiap aspek kehidupan manusia semakin dihimpit dengan komputer dan justeru itu, penggunaan komputer dalam pendidikan juga menjadi semakin dominan. Kita kini dikatakan berada dalam satu masa perubahan iaitu dari zaman industri ke zaman informasi. Dunia tanpa sempadan, IT, ICT, e-siber, global, dalam talian, pintar, rangkaian, dan pelbagai lagi istilah yang sekiranya gagal untuk difahami menyebabkan kita seolah-olah berada di dunia lain. Justeru itu, penggunaan teknologi maklumat seharusnya bukanlah lagi menjadi sesuatu yang asing dalam pendidikan. Menurut Ahmad Fuad (2003), menyatakan bahawa dalam konteks pendiidkan, teknologi maklumat merupakan satu rangkaian elektronik untuk mencari, mengumpul, menyimpan, memproses, menyalur dan menyampai maklumat secara efektif, pantas dan banyak untuk membbantu proses pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan itu juga, kejayaan ICT dalam pendidikan khususnya bukan hanya terletak pada teknologi tetapi juga melibakan faktor lain seperti pendekatan pedagogi, subjek yang diajar, jenis pelajar, tahap pencapaian pelajar, keperluan pelajar, guru dan persekitaran bilik darjah. Pendekatan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran membolehkan bilik darjah bertemu dengan dunia nyata serta membolehkan pelajar-pelajar meneroka mencari maklumat.

Dalam menjayakan penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan gandingan semua pihak sama ada pihak sekolah mahu pun pihak masyarakat. Di sekolah, guru terutamanya perlu yakin bahawa terdapat banyak kebaikan dan kepentingan penggunaan ICT atau teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru juga perlu mempelajari serta diberikan kemahiran yang mencukupi untuk menggunakan peralatan ICT secara cekap dan efektif. Kebanyakan sekolah-sekolah yang mempunyai guru-guru yang telah lama berkhidmat, terdiri daripada mereka yang masih berada di tahap ‘perlu belajar’ dan ‘perlu bimbingan’ untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam ICT. Keupayaan seseorang untuk menggabungkan teknologi maklumat dalam pengajaran bukan berlaku secara automatis, tetapi memerlukan kepada usaha yang berterusan yang penuh dengan minat. Pengetahuan dan kemahiran dalam ICT tidak menjamin pengintergrasiannya dalam kurikulum dan juga pengajaran. Justeru, adalah penting bagi guru-guru untuk memuat persediaan yang mencukupi agar dapat memenuhi tuntutan dan jangkaan masyarakat untuk menggabungkan ICT dalam pengajaran. Keyakinan dan efikasi yang tinggi membantu mempermudahkan proses peningkatan kemahiran dalam pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

(a) Definisi Teknologi Maklumat

Teknologi maklumat merupakan satu bidang ilmu yang berasaskan pelbagai disiplin terutamanya komunikasi dan sistem komputer. Bidang ini merupakan kajian tentang penggunaan proses dan perkakasan dalam menangani maklumat yang pelbagai bentuk.

Teknologi maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuk teknologi sangat luas iaitu berkenaan dengan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudahnya, penggunaan computer dan perisian adalah untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.

(b) Pengintegrasian Teknologi Maklumat dalam Pengajaran Bahasa


Pengintegrasian teknologi malkumat dalam pengajaran bermaksud proses pengajaran yang melibatkan penerapan teknologi seperti komputer serta menggunakan bahan bantu mengajar berunsurkan ICT dalam pengajaran bahasa. Contohnya penggunaan korpus berkomputer untuk mencari perkataan dan ayat yang berkaitan.

PERNYATAAN MASALAH

Penggunaan komputer atau bahan teknologi maklumat merupakan satu wadah baru yang di bawa ke dalam dunia pendidikan. Oleh itu, terdapat pelbagai kekangan yang timbul akibat daripada kekurangan kemahiran dalam pengendalian dan pengurusan. Antara-antara kekangan-kekangan yang perlu dititikberatkan adalah:-

1) Tahap Kemahiran Guru dalam Bidang Teknologi Maklumat.


Penggunaan bahan teknologi maklumat dalam pendidikan khususnya dari segi pengajaran dan pembelajaran pada masa kini telah menjadi satu perkara yang penting bagi guru guru.

Penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran mampu meningkatkan kefahaman para pelajar dengan lebih baik. Hal ini dapat kita perhatikan bahawa, pembelajaran dari segi pencarian maklumat dan bahan-bahan terkini dalam sesuatu topik dapat dilakukan oleh pelajar-pelajar dengan menggunakan alat teknologi maklumat seperti melalui komputer, internet dan sebagainya.

Dapat kita perhatikan bahawa, penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan kemahiran seseorang guru untuk mengendalikan dalam sesuatu perkara, oleh yang demikian, pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa di sekolah rendah terdapat beberapa kekangan yang perlu di ambil berat iaitu kekurangan guru terlatih dalam bidang teknologi maklumat. Guru-guru yang telah lama mengajar dalam bidang bahasa khususnya kurang berpengalaman dan pendedahan dengan penggunaan ICT, oleh itu, guru tidak mahir untuk membuat perancangan pengajaran berdasarkan ICT. Perkara sedemikian menyebabkan timbul permasalahan di mana pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Hal ini akan membantut perkembangan penggunaan bahan teknologi maklumat khususnya di kalangan pelajar.

2) Penerimaan Guru Terhadap Proses P&P Menggunakan Teknologi Maklumat

Pengintegrasian teknologi maklumat dalam proses pengajaran merupakan salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran terkini untuk meningkatkan tahap kemahiran guru menyampaikan sesuatu perkara khususnya dalam pengajaran bahasa. Justeru itu, terdapat segelintir guru bahasa masih tidak mahu mengikuti serta mengubah kaedah pengajaran mereka. Perkara ini dapat kita perhatikan bahawa guru-guru bahasa yang telah lama berkidmat dalan dunia pendidikan enggan mengubahsuai corak pengajaran dan pembelajaran mereka yang mana, kaedah guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah hanya tertumpu kepada penggunaan buku teks serta papan tulis semata-mata dan tidak mempunyai alternatif kaedah pengajaran bahasa yang lain. Sesetengah guru merasakan penggunaan kaedah pengajaran tradisional sudah cukup untuk menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di dalam bilik darjah.

Selain itu, terdapat guru-guru yang tidak memahami nilai penggunaan teknologi maklumat ini menyebabkan mereka malas untuk belajar serta mendalami ilmu teknologi maklumat. Penggunaan teknologi maklumat seolah-olah memberi satu bebanan kepada mereka ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. Menurut (Norizan Abdul Razak, 1997) dalam kajian kesediaan guru menggunakan teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa membuktikan bahawa guru-guru masih lagi ragu-ragu dan takut untuk menggunakan komputer dalam pengajaran mereka. Perkara ini menjadi salah satu perkara yang membantutkan pengintegrasian teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa di sekolah. Terdapat guru-guru yang berminat untuk belajar tetapi berputus asa kerana merasakan sukar untuk menguasai bidang teknologi maklumat.

3) Kemudahan Teknologi Yang Berkaitan Tidak Mencukupi

Proses pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran memerlukan prasarana yang mencukupi seperti kemudahan makmal komputer, peralatan berkaitan dengan penggunaan teknologi maklumat, serta penyediaan dan penyelenggaraan komputer yang mencukupi dan lancer. Sistem penyelenggaraan bahan teknologi maklumat di sekolah yang tidak cekap menjadi salah satu punca permasalahan pengintegrasiaan ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Sehubungan itu juga, peruntukan kewangan yang lambat serta tidak mencukupi untuk proses penyediaan kemudahan teknologi maklumat di sekolah-sekolah tertentu menjadi salah satu punca timbulnya permasalahan dalam proses pengintegrasian.

Masalah bilik komputer juga sering mengganggu kelancaran penggunaan komputer dalam pengajaran. Terdapat guru bahasa yang tidak dapat menggunakan bilik komputer kerana sering digunakan oleh kumpulan pelajar lain. Pengaruh rakan sejawat tidak mempengaruhi sampel kajian dalam pelaksanaan pengajaran berbantukan komputer. Minat mengajar menggunakan komputer tidak menurun apabila tidak ramai guru yang berbuat demikian.

Kesimpulannya, bidang bahasa juga sedang mengalami zaman penuh cabaran terutama dari segi pandangan umum terhadap kepentingannya. Walaupun demikian, aspek pengajaran perlu diberikan perhatian dengan menekankan penguasaan kemahiran bahasa yang diajarkan. Pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa berupaya meningkatkan lagi keupayaan pelajar dalam menguasai sesuatu bahasa itu dengan lebih baik. Oleh itu, aspek latihan dalam perkhidmatan, penyediaan bahan pembelajaran interaktif, menggalakkan juga penggunaan internet dalam pengajaran serta penyediaan teknologi yang sesuai dengan keperluan semasa perlu diberikan perhatian. 

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

Bagi mengatasi masalah-masalah ini, kami telah membincangkan beberapa cara berdasarkan peranan semua pihak.

1) Peranan Kerajaan

Kerajaan memberikan kesedaran dalam penggunaan komputer untuk mempercepatkan penerimaan dan penggunaan teknologi maklumat. Perdana Menteri, Dato’ Seri Mahathir Mohamad telah melancarkan Kempen Kesedaran Teknologi Maklumat pada 11 Oktober 1977. Kerajaan juga memastikan setiap sekolah, mendapat skim peruntukan kelengkapan makmal komputer yang cukup kepada semua sekolah terutamanya sekolah-sekolah di kawasan luar bandar. Selain itu juga, kerajaan perlu menyediakan kursus teknologi maklumat untuk guru-guru yang bakal mejadi tenaga pengajar di sekolah sama ada di universiti ataupun kursus-kursus semasa. Kerajaan haruslah peka terhadap keperluan semasa masyarakat dan sentiasa peka terhadap perubahan teknologi global.

2) Peranan Sekolah

Strategi untuk menggabungkan dan memantapkan penggunaan ICT dalam P&P bukan hanya semata-mata terletak di bahu guru sahaja tetapi juga kepada pemimpin sekolah. Peranan pemimpin adalah amat penting dalam membentuk budaya ICT di sekolah. Mereka bukan sahaja perlu memberi sokongan dari segi kewangan tetapi juga menjadi model sebagai pengguna ICT dalam pentadbiran dan memberi respons kepada perubahan. Untuk menerapkan budaya ICT di sekolah, satu dokumen polisi bertulis seharusnya disediakan.

Polisi ini membantu merekabentuk dan mengurus program ICT bagi membolehkan guru dan pelajar menguasai ICT secara teratur dan progresif. Sesebuah polisi tidak perlu statik tetapi perlu disemak setahun sekali terutamanya apabila tahap kepakaran guru meningkat dan terdapat perubahan pada dasar dan prosedur Kementerian Pendidikan. Kerangka polisi ICT dibina berdasarkan kepada matlamat dan perancangan sekolah, pandangan daripada ibu bapa dan komuniti, polisi Pejabat Pendidikan Daerah, polisi rasional penyelidikan tentang pengajaran dan pembelajaran yang efektif dan perkembangan teknologi (Mohammed Sani dan Mohd Jasmy, 2002). Bagi melaksanakan polisi dan matlamat yang telah ditetapkan sekolah harus menyediakan pelan pembangunan. Heinrich (1995) menyatakan pelan ini mengandungi aktiviti-aktiviti spesifik seperti strategi pemantauan dan penilaian; spesifikasi tentang pemilihan pembiayaan serta pembelian perisian dan perkakasan, kurikulum yang digunakan dan perancangan untuk penggantian serta pembinaan peralatan secara berterusan.Program pembangunan sekolah harus selari dengan matlamat dan prosedur yang telah ditentukan oleh Kementerian Pendidikan. Pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah seharusnya dilibatkan bagi membimbing dan menyokong sekolah untuk membuat pelan pembangunan ICT dan seterusnya memantau perlaksanaannya.

Pemimpin sekolah harus memastikan prasarana yang lengkap dikendalikan dan digunakan secara optimum oleh guru semasa P&P dijalankan. Penggunaan makmal komputer hendaklah mengikut jadual waktu yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran agar kekecohan dan kecelaruan tidak timbul di kalangan guru-guru. Peranan penyelaras ICT mesti dipantausupaya budaya menyelenggara alat-alat perkakasan sentiasa dilakukan selepas makmal komputer digunakan. Penyelaras ICT harus peka dan jelas dengan arahan-arahan Kementerian Pendidikan tetapi dalam melaksanakannya di peringkat sekolah, mereka perlu mengubahsuai prosedur mengikut kemampuan guru-guru untuk melaksanakannya dengan berkesan. Pemberian komputer daripada pihak swasta atau atas inisiatif PIBG hendaklahdilengkapkan ke bilik-bilik darjah sekiranya makmal komputer telah disediakan. Ini akan menambahkan lagi penggunaan ICT oleh guru semasa proses P&P.

Perkembangan dan pembangunan staf harus diberi perhatian yang lebih oleh pemimpin sekolah. Pembangunan staf yang melibatkan ICT dan inovasi adalah berdasarkan kepada dua bidang iaitu penguasaan ICT dan perkembangan aktiviti pembelajaran mengikut keperluan murid. Perancangan pihak sekolah untuk memberikan kursus-kursus dalaman dan luaran kepada guru adalah perlu. Untuk itu pengurus sekolah hendaklah sentiasa melakukan kajian keperluan untuk mengenal pasti tahap penguasaan guru dalam bidang kemahiran ICT dan instruksional. Program perkembangan staf amat perlu untuk memastikan guru-guru menguasai ilmu dan ketrampilan yang diperlukan untukmenggunakan peralatan ICT dan bagaimana mereka dapat membantu pelajar-pelajar untuk menggunakan dengan betul. Program ini harus selari dengan polisi ICT dan pelan pembangunan sekolah.

3) Peranan Guru

Menurut Skinner (1974), melalui teori pembelajaran behaviorisme pembelajaran berlaku apabila seseorang itu bertindakbalas terhadap sesuatu rangsangan dan kemudiannya diberi pengukuhan. Sementara teori kognitivisme menegaskan pembelajaran merupakan satu proses maklumat diterima, diproses dan disimpan dalam pemikiran seseorang. Implikasi ini menunjukkan maklumat dianggap sebagai objek yang boleh dipindahkan kepada murid (Newell, 1990). Di bawah kerangka behaviorisme dan kognitivisme, guru berperanan sebagai penyampai maklumat dan memastikan bahawa pelajar telah mempunyai pengetahuan sedia ada. Oleh itu segala perancangan dibuat mengikut turutan aktiviti supaya objektif pembelajaran tercapai. Aktiviti pembelajaran yang mengaplikasi teori behaviorisme dan kognitivisme ialah pembelajaran tutorial yang menggunakan ICT untuk menyampaikan kandungan pelajaran. Aktiviti ini merangkumi demonstrasi, fenomena yang menggunakan perisian CD Rom, laman web yang disimpan di dalam cakera keras, latihan yang dikawal oleh sistem dan pembelajaran ekspositori. Sebahagian besar perisian pendidikan yang digunakan dalam pembelajaran tutorial direka dalam bentuk berdasarkan kepada model tradisional P&P, model transmisi yang memperlihatkan guru sebagai penyampai maklumat utama dan murid sebagai penerima (Merill, 1996).

Pendekatan seperti ini harus diberi pertimbangan yang teliti oleh guru sebelum ianya dilaksanakan. Adalah dicadangkan guru perlu menilai setiap perisian yang sesuai sebelum menjalankan proses P&P serta melakukan persediaan yang rapi dalam penyediaan peralatan ICT. Kumpulan pelajar yang cemerlang dan lemah dibahagikan supaya memudahkan guru membuat penilaian diakhir sesi pengajaran. Kumpulan yang lemah akan diberi latihan yang berbentuk latih tubi sementara yang cemerlang diberi latihan bebentuk pengayaan. Kesilapan dalam memberikan pertimbangan boleh mengakibatkan pembaziran masa dan tenaga serta menghalang penggunaan kemudahan ICT yang lebih produktif.

Teori pembelajaran kontruktivisme memberi tumpuan kepada pembinaan ilmu oleh individu. Pembelajaran berlaku apabila seseorang itu dapat membina atau menginterpretasi ilmu serta mengaplikasi dalam situasi yang baru (Piaget, 1981; Brunner, 1990). Dengan kata lain teori ini memberi penekanan kepada pemikiran kritis, penyelesaian masalah, pengalaman pembelajaran yang autentik dan pengetahuan yang dibina melalui interaksi sosial. Melalui pendekatan teori pembelajaran ini, guru berperanan sebagai fasilitator dalam mengendalikan proses P&P dan menggunakan ICT sebagai alat. Pelbagai strategi pengajaran digunakan untuk menjana idea serta meningkatkan kemampuan murid untuk memanipulasikan maklumat yang telah dikumpul. Pembelajaran secara penerokaan boleh digunakan oleh guru untuk menghubungkan antara teori konstruktivisme dengan P&P. Kaedah pembelajaran ini membolehkan murid-murid mencari dan mengakses maklumat daripada ensaiklopedia multimedia atau bahan-bahan daripada internet (Haynes & Holmevik, 1998). Melalui pengumpulan bahan-bahan ini, maklumat akan digunakan untuk menjana dan menguji hipotesis dalam penyelesaian masalah.

Perhatian yang lebih perlu diberikan oleh guru apabila menggunakan kaedah pembelajaran penerokaan. Ini kerana murid-murid mungkin menggunakan terus maklumat yang diperolehi tanpa memanipulasi (mencari, membanding dan menilai). Dalam proses pembelajaran ini guru perlu menyediakan soalan-soalan terbuka untuk menjana pemikiran murid-murid dan menggalakkan pembelajaran secara hafalan (rote learning). Peranan guru dalam memantau penggunaan aplikasi pemprosesan perkataan, lembaran kerja dan persembahan adalah perlu ntuk mengelakkan pemesongan tumpuan murid daripada perkara yang lebih penting. Guru perlu memastikan bahawa penggunaan ICT adalah untuk membantu proses P&P seperti menganalisis maklumat dan bukannya digunakan sebagai mesin taip elektronik.

Penggunaan ICT sebagai alat komunikasi merupakan serampang dua mata dalam perkongsian maklumat dan komunikasi. Guru boleh mengambil peluang daripada keupayaan ini untuk menjalankan pembelajaran kolaboratif di dalam kelas. Kaedah ini digunakan untuk membolehkan murid dan guru daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat dalam pelbagai bentuk elemen multimedia seperti teks, grafik, audio video dan animasi. Ini akan mewujudkan hubungan kerja berpasukan di kalangan murid di samping memantapkan kemahiran berkomunikasi. Namun begitu guru perlu menyediakan garis panduan yang jelas dan terperinci untuk memastikan disiplin murid semasa penggunaan e-mail, chat room dan sebagainya dalam pembelajaran kolaboratif. Penilaian boleh dijalankan oleh guru dan kumpulan pebincangan apabila hasil dibentangkan di dalam kelas. Ini akan menggalakkan percambahan pemikiran dan memantapkan kemahiran berfikir serta komunikasi murid-murid. Strategi guru menggunakan ICT dalam proses P&P harus selaras dengan isi kandungan mata pelajaran dan menekankan implikasi atau hasil pembelajaran yang diharapkan berdasarkan tahap murid.

4) Peranan Pelajar

Pelajar menggunakan pemprosesan perkataan untuk menyediakan laporan-laporan aktiviti untuk aktiviti pengayaan, tugasan serta projek. Pelajar boleh mengulangi tutorial mengikut keperluan, kemampuan dan kadar sendiri. Aktiviti dijalankan sama ada secara individu dengan akses kendiri atau dalam kumpulan kecil. Pelbagai projek di sediakan dalam muka indeks laman web untuk membolehkan pelajar mengakses maklumat daripada ‘World Wide Web’ seperti tugasan mencari jurubina-jurubina terkenal di dunia, bangunan-bangunan bersejarah yang menarik, mencari URL laman berkaitan dengan Seminar Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan, MPBL, 2002 pelan dan dongakan serta menulis satu sinopsis tentang bahan -bahan yang ada pada laman yang diperolehi untuk dikongsi dengan rakan yang lain. Pelajar berkomunikasi dengan pelajar di sekolah yang sama atau dari sekolah yang lain melalui e-mail untuk mengongsi maklumat yang ditemui sama ada untuk tujuan perbincangan atau memberi cadangan pelaksanaan tugasan /projek .Maklumat ini disimpan dalam laman web untuk diakses oleh pelajar yang lain. Misalnya dalam pautan e-mail Pelajar dan Cadangan Pelajar.

5) Peranan Masyarakat

Untuk memantapkan integrasi ICT dalam proses P&P sekolah harus menggunakan pelbagai perkhidmatan luar seperti pihak swasta, kerajaan, badan akademik, komersial serta komuniti setempat. Pusat Sumber Pendidikan Negeri merupakan sumber rujukan yang paling relevan untuk mendapat khidmat nasihat mengenai teknik dan kaedah P&P menggunakan ICT. Teknik perkongsian pintar antara sekolah dan sektor swasta boleh digunakan sebagai strategi untuk meningkatkan kemahiran ICT guru dan semua warga sekolah. Sekolah harus menggunakan peluang yang ada dalam komuniti setempat dari segi mendapatkan sumbangan dalam bentuk tenaga pakar untuk membantu guru-guru dalam menjadikan penggunaan ICT dalam P&P secara berkesan.
PENUTUP

Sistem pendidikan sekolah di Malaysia hari ini dikatakan dapat menyediakan pelajar-pelajar yang serba boleh bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar. Dari masa ke semasa, kerajaan akan sentiasa mencari jalan supaya pendidikan di Malaysia dapat dipertingkatkan. Dalam keghairahan mengguna teknologi maklumat dalam pendidikan, kita harus berwaspada terhadap bahaya dan kesan negatif akibat penggunaan yang tidak terkawal. Walau apapun pandangan kita, penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa sedikit sebanyak sudah pasti akan mengubah corak pendidikan masa depan dan tingkah laku kanak-kanak. Oleh itu, pengawalan dan pengawasan yang rapi harus diberikan apabila menggunakan teknologi canggih ini.

BIBLIOGRAFI
  • Ahmad Fauzi bin Mohamed. Pengintegrasian teknologi Maklumat dalam Pengajaran. Diperolehi pada 21 Ogos 2008 daripada - http://72.14.235.104/custom?q=cache: XKIubNnHofEJ:www.sahc.kedah.edu.my/esei_karya/Microsoft%2520Word%2520%252 0PENGINTEGRASIAN%2520KOMPUTER%2520DALAM%2520 PENDIDIKAN.pdf+pengintegrasian+teknologi+maklumat+dalam+
    pengajaran&hl=en&ct=clnk&cd=4&client=google-coop
  • Bahasa Melayu. Dewan Bahasa, 44 (10), 1055-1062.
  • Bahasa Melayu. Dewan Bahasa, 44 (10), 1055-1062. Goh Ying Soon, Azman bin Che Mat, Tey Meng Kar. Cabaran, Peluang dan ancaman Penggunaan Teknologi dalam Pengajaran Bahasa. Diperolehi pada 28 Ogos 2008 daripada http://www1.tganu.uitm.edu.my/sitma06/PDF/sessi%204/s4b8.pdf
  • Mohd Feroz Abu Bakar, 1999. IT dalam Pendidikan. Diperolehi daripada http://www.apdip.net/projects/miu/press/BeritaHarian_16081999.pdf
  • Mohd Feroz Abu Bakar. IT dalam Pendidikan. Diperolehi pada 24 ogos 2008 daripada http://www.apdip.net/projects/miu/press/BeritaHarian_16081999.pdf60
  • Nazri Bin Abu Bakar, Muhammad Salaebing, Shamsinah Bt. Salleh, Norizillah Bt. Mohd. Rodzes, Fatahiyah Bt. Mohd. Ishak. Penggunaan Komputer dalam Pengajaran Bahasa.Diperolehi pada 25 ogos 2008 daripada http://compapplicationinlangandlit. wikispaces.com/space/showimage/Penggunaan%2520Komputer%2520dlm%2520 pengajaran%2520bahasa.pdf
  • Noraini Attan (2002). Tahap Kesediaan Guru dalam Penggunaan Teknologi Maklumat Berasaskan Komputer bagi Pengajaran dan Pembelajaran Sains. Master Of Ed. Thesis. Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Rosnaini Mahmud (2008). Factors Influencing Ict Integration In The Classroom: Implications To Teacher Education. http://www.cluteinstitute.com/Programs/Salzburg_Austria_2008/ Diperolehi pada 20 ogos 2008 daripadaArticle%20169.pdf
  • Sejauh manakah keberkesananan penggunaan teknologi maklumat dalam pendidikan di Malaysia. Diperolehi pada 24 ogos 2008 daripada http://www.geocities.com/gardner02_8/ilmiah5.html
  • Yahya Othman (2007). Bahan bantu mengajar memperkukuh Bahasa Melayu. Dewan Bahasa,7(2), 32-35.
  • Yahya Othman, Roselan Baki. Aplikasi Komputer Dalam Pengajaran bahasa: Penguasaan Guru dan Kekangan dalam Pelaksanaan. Diperolehi pada 22 ogos 2008 daripada http://eprints.utm.my/5968/ 1/08-yahya.pdf





0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes